Selamat Malam Khamis, 28 Mac 2024
Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) ialah Khidmat Nasihat berkaitan Bahasa, Sastera, Penerbitan, dan Korporat DBP.
Soalan Kerap Ditanya(FAQ)
Carian:  
SoalanJawapan
Antara dan di antara

Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti oleh kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu.

-       Mereka berbincang antara adik-beradik.

 

Kata sendi nama antara boleh juga diikuti oleh bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh, seribu dan sebagainya. Kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, dan kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, ketiga-tiga, beratus-ratus dan sebagainya. 

-       Antara dua bangunan itu jauh perbezaannya. 

 

Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama diri seperti mereka, kita dan -nya.

-       Antara mereka, banyak persamaannya. 


Baru dan baharu

Baru dan baharu ialah kata adjektif yang digunakan untuk merujuk sesuatu yang belum dipakai atau belum lama dipakai, contohnya basikal baru/baharu atau kasut baru/baharu. Padanan bahasa Inggerisnya new.

-       Ayah membelikan adik basikal baru/baharu.

 

Kata Baru ialah kata bantu yang digunakan dalam konteks “tidak berapa lama dahulu” atau “tidak berapa lama sebelum ini”, contohnya baru tiba/baru sedar. Padanan bahasa Inggerisnya just.

Selepas saya jelaskan, baru dia sedar.
Berbahaya atau merbahaya?

Kata berbahaya berasal daripada kata dasar bahaya yang menerima awalan ber- dan dalam bahasa Melayu tiada awalan mer-. Ejaan yang betul ialah berbahaya bermakna boleh mendatangkan bahaya.

-   Jangan kamu pergi mandi-manda di lombong itu kerana
    berbahaya.
Cap getah atau cop getah?

Cap getah ialah alat untuk menurunkan bekas atau kesan tanda seperti tandatangan atau nama dengan menekannya di atas kertas atau surat, seperti cap dagang dan cap nama.

-       Setiap surat perjanjian mesti mempunyai cap pegawai daerah, barulah diterima.

Dalam dan di dalam

Kata sendi nama dalam digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa maksud lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak seperti peristiwa, bahasa, bidang, masyarakat dan sebagainya.

-       Sebagai rakyat Malaysia, kita harus fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu.

Penggunaan kata sendi nama di dalam digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.

      -         Panduan pengguna ada di dalam kotak.
Dalam kalangan atau di kalangan?

Frasa yang betul ialah dalam kalangan bukan di kalangan kerana kata sendi nama di merujuk tempat, sedangkan kata kalangan bermaksud lingkungan atau golongan. Oleh sebab itu, kata sendi nama di tidak boleh diletakkan pada kata ini.

 

Penggunaan dalam kalangan betul kerana menunjukkan termasuk, bersama-sama atau terlibat sama.

-       Skim Harga Maksimum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terus berkuat kuasa walaupun trend pembelian panik dalam kalangan rakyat dilihat semakin reda.

Dari dan daripada

Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama:

(a) Menunjukkan tempat atau arah

-       Angin kencang bertiup dari arah barat.

(b) Menunjukkan waktu atau masa

-       Persidangan ringkas itu akan diadakan dari pukul 5.00 hingga 6.00 petang.

 

Kata sendi nama daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama:

(a) Menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad

-       Hospital Kuala Lumpur menerima sumbangan kelengkapan kesihatan daripada Kelab Kebajikan Golf Tan Sri Aseh Che Mat.

(b) Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda

-       Ukiran itu diperbuat daripada logam.

(c) Menunjukkan perbezaan atau perbandingan

-       Kes kematian yang dilaporkan hari ini lebih sedikit daripada semalam.

Ia atau ianya?

Kata ia ialah kata ganti nama diri orang ketiga dia (bagi lelaki atau perempuan) dan -nya ialah kata ganti nama diri orang ketiga seperti beliau dan dia. Oleh itu, ia dan -nya tidak boleh digabungkan kerana kedua-duanya ialah kata ganti diri orang ketiga. Penggunaan yang betul ialah ia bukan ianya.

-       Ia menjerit sambil menangis.

Ialah dan adalah

Kata pemeri ialah hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa adjektif atau frasa sendi nama.

-       Perdana Menteri Malaysia yang kelapan ialah YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin.  

-       Adalah sukar untuk mengatasi masalah berita palsu pada hari ini.

-       Hadiah yang sedang dibalut itu adalah untuk bapa.

 

Kata pemeri adalah tidak boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja.

-      Adalah dimaklumkan bahawa majlis meraikan penerima anugerah akan diadakan pada 22 Jun 2020.

     -     Pelaksanaan norma baharu adalah merupakan langkah
          pencegahan wabak COVID-19.
Istirehat atau istirahat?

Ejaan yang betul ialah istirahat, berasal daripada kata Arab yang bermaksud rehat dan bukannya daripada kata dasar rehat.

-       Cameron Highlands merupakan tempat istirahat yang indah.

123


Kembali Ke Laman DBP
© Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Reka Bentuk: Abu Bakar bin Haji Buyong, Bahagian Sistem Maklumat, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Kembali Ke Laman DBP